FREE MARKET UPM 2.0 | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » FREE MARKET UPM 2.0

FREE MARKET UPM 2.0

Universiti Putra Malaysia (UPM) tersenarai pada kedudukan ke-17 ranking terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2015 berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitarnya. UPM yang membuat lonjakan tertinggi pada tahun 2015 berbanding tempat ke 41 pada tahun sebelumnya turut mencatat sejarah apabila menduduki ranking pertama Asia berbanding kedudukan keempat pada tahun sebelumnya. Selaras dengan pengiktirafan ini , program Free Market yang berkonsepkan kitar semula barangan yang masih boleh digunapakai telah diadakan bagi memberi manafaat kepada warga kampus serta masyarakat luar seterusnya dapat menyemarakkan lagi aktiviti hijau di UPM.

Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah(PKKSSAAS), Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP UPM), FreeShop UPM, serta Adi Karya Sdn Bhd dan Pertubuhan Sahabat Alam Maya sebagai rakan strategik telah menganjurkan Free Market UPM 2.0 pada 19 Mac 2016 yang lalu, bertempat di Dewan Besar PKKSSAAS, UPM.

Free Market UPM 2.0 dijalankan rentetan kejayaan Pasar Amal Karnival 40 Tahun KTDI dan Free Market UPM yang berlangsung pada sesi lepas mendapat sambutan dari orang ramai. Oleh itu, Pengarah Free Market UPM 2.0, Cik Nurul Fatin Ilani telah mengetengahkan idea ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan harapan program Free Market memperoleh sokongan daripada pelbagai pihak. Penganjuran program kali ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam konteks program yang berfokuskan pemberian sumbangan, khususnya barangan keperluan asas.

Program Free Market UPM 2.0 dihadiri Naib Canselor UPM, YBhg Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris yang berasa bangga melihat mahasiswa mahasiswi Universiti Putra Malaysia mampu membantu masyarakat melalui program Free Market UPM dan beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Program ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Dato Ahmad Maslan apabila beliau turut hadir dan berkunjung ke booth – booth penyumbang di Free Market UPM. Beliau yang telah merasmikan program Free Market UPM 2.0 menyatakan perasaan suka kepada konsep Free Market ini diperkenalkan dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan disamping konsep sedekah menurut islam turut dipupuk dalam kalangan masyarakat .

Bukan sahaja Free Market UPM tetapi konsep FreeShop UPM juga beliau begitu teruja menunjukkan bahawa Universiti Putra Malaysia berusaha mengwujudkan pelbagai alternatif dalam menjaga kebajikan pelajar dan masyarakat umumnya. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Kolej Tun Dr. Ismail dan pihak Universiti Putra Malaysia diatas kejayaan menganjurkan Free Market UPM 2.0. Program ini juga dikunjungi YBhg. Dato Nazifuddin Najib, Pengerusi Youth On Unity yang berasa teruja melihat program Free Market UPM 2.0 ini dianjurkan dan beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Free Market UPM 2.0.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia, Yang Hormat Dato Shatar Sabran berkata melalui program ini mahasiswa boleh mendekatkan diri kepada
masyarakat disamping membuka ruang kepada masyarakat luar atau masyarakat kampus membantu masyarakat yang memerlukan. Beliau juga menyeru pelbagai pihak daripada dalam UPM, syarikat – syarikat korporat, dan yayasan kebajikan membantu Kolej Tun Dr. Ismail menganjurkan program Free Market yang akan datang.

Selain memberi peluang kepada mahasiswa membantu masyarakat dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan, program ini juga memperlihatkan bahawa mahasiswa turut prihatin kepada masyarakat. Tambahan lagi, penyumbang boleh memberi apa jua bentuk sumbangan atau tenaga mahir manakala penerima dibenarkan mengambil mana-mana barangan atau menerima perkhidmatan secara percuma, sejajar dengan slogan program ini,” Beri atau Ambil Apa Sahaja! ”.

Selain daripada aktiviti mengambil dan memberi secara percuma, Free Market UPM 2.0 juga menyajikan para pengunjung dengan persembahan amal oleh pelajar UPM sendiri. Di samping itu, sumbangan yang dihulurkan juga tidak terhad kepada barangan harian sahaja, malah penyumbang boleh berkongsi kemahiran kepada pengunjung pada hari kejadian. Misalnya, gunting rambut, silap mata, membuat origami, persembahan solo atau berkumpulan. Program ini turut diisi dengan pameran dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang peranan dan bantuan JKM kepada masyarakat.

Free Market UPM 2.0 turut menganjurkan kempen derma darah bagi yang berkelayakan dengan kerjasama Pusat Darah Negara. Pada hari tersebut juga, para pengunjung diberi peluang untuk bermain “Giant Bubbles” secara percuma, terbuka kepada semua peringkat umur. Selain itu, pemeriksaan kereta secara percuma turut dijalankan sepanjang program berlangsung.

Program Free market UPM 2.0 kali ini merupakan salah satu program kemuncak KTDI yang dianjurkan di UPM. Oleh itu, kami telah melibatkan penyertaan penyumbang daripada beberapa syarikat korporat, ipts serta penduduk sekitar Selangor bagi turut sama mengambil bahagian dalam Free Market UPM 2.0. Seterusnya, kami juga menjemput seramai 150 orang yang hadir daripada rumah kebajikan seperti Rumah Baitul Barokah Wal Mahabbah, Rumah Amal Al – Firdaus, Rumah Anak Yatim Sungai Buaya dan lain–lain. Penglibatan dalam kalangan mahasiswa dalam program ini sangat digalakkan bagi menunjukkan semangat belia yang sedia berkhidmat kepada komuniti.

Sekalung terima kasih kepada pihak penaja iaitu Adi Karya Sdn Bhd, My Uniform Gallery (UG) Bangi, Zalora Malaysia, Ajinamoto Malaysia, Sahabat Alam Maya Malaysia (SAM), Imtiaz Digital, Skobok.com, Pakatan Ukur Bahan Sdn Bhd (Hj. Lie), Syarikat Zakcm Enterprise, Ahlan Greenwood Sdn Bhd, Giant Bubble Putrajaya dan penyumbang serta sukarelawan daripada Taylor College dan mana – mana pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada program Free Market UPM 2.0. Kami pihak penganjur berharap program ini mendapat perhatian daripada semua pihak dan semoga program ini juga dapat dijalankan di mana – mana di seluruh Malaysia.

Disediakan oleh,
NURUL FATIN ILANI BINTI ABDULLAH
174040








SPM - BINGKISAN- FREE MARKET [26 MAC 2016]

Updated:: [suhailayusoff]

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389467362
0389467364
C1511006313