KTDI Student Community Service In Indonesia | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » KTDI Student Community Service in Indonesia

KTDI Student Community Service in Indonesia

Yogyakarta, 16 Januari 2016 - Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail Sesi 2015/2016, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Universitas Negeri Yogyakarta telah menganjurkan Knowledge Exchange Mobility Programme 2016. Antara pengisian program tersebut ialah projek  komuniti bersama Senyum Merapi Foundation di Kampung Ngandong, Girikerto, Sorowangsan. Pengasas Senyum Merapi Foundation, Pak Suryana merupakan salah seorang sukarelawan ketika tragedi letusan Gunung Merapi pada tahun 2010 dan beliau meneruskan usahanya melalui Senyum Merapi Foundation. Tujuan utama beliau menubuhkan yayasan ini adalah untuk membantu anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa mereka semasa tragedi tersebut. Usaha murni beliau walaupun masih berada di peringkat awal, beliau tetap percaya dengan usahanya yang berterusan, yayasan yang ditubuhkan beliau mampu menjadi pelangi petang buat anak-anak yang memerlukan. Wakil mahasiswa Universiti Putra Malaysia serta Universitas Negeri Yogyakarta berkunjung ke sana untuk melakukan beberapa aktiviti bersama anak-anak di sana serta membantu apa yang boleh dari segi tenaga. Dalam ucapan alu-aluan Pak Suryana, beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan dari pelajar Universiti Putra Malaysia dan Universitas Negeri Yogyakarta untuk melakukan aktiviti khidmat komuniti. Sebelum ini, beliau juga pernah menerima bantuan tenaga dari mahasiswa Malaysia ketika tragedi tahun 2010. Rentetan itu, kunjungan mahasiswa kali ini dianggap beliau sebagai suatu inisiatif baik oleh pemuda-pemuda yang bakal memipin pada masa akan datang. Beliau juga mempunyai hasrat agar Senyum Merapi Foundation dapat dijadikan pusat anak yatim yang berdaftar serta mempunyai penyumbang tetap. Hal ini demikian kerana tatkala ini, beliau menggunakan rumah beliau sendiri untuk melakukkan sebarang aktiviti yang melibatkan anak-anak yatim di bawah jagaan Senyum Merapi Foundation. Di kesempatan ini juga, semua mahasiswa diberi peluang untuk berjalan-jalan di sekitar Kampung Ngandong sambil merasai pengalaman hidup di kampung yang bergantung sepenuhnya kepada sumber alam. Sebelum melakukan aktiviti bersama anak-anak yatim, para mahasiswa bersama-sama beberapa orang penduduk kampung bekerjasama mengangkat atap genting dan membantu membina anjung yang belum sepenuhnya siap. Manakala, sebahagian mahasiswi pula ditugaskan untuk membantu menyiapkan makan tengah hari untuk semua. Anak-anak yatim tiba bersama-sama waris mereka. Jelas dilihat bahawa waris mereka turut bersemangat untuk melihat bagaimana program sedang berlangsung. Meskipun terdapat batasan komunikasi, akan tetapi pelajar Universiti Putra Malaysia tetap bersemangat dan terus cuba untuk berkomunikasi dengan anak-anak yatim Senyum Merapi Foundation. Kedatangan wakil mahasiswa Universiti Putra Malaysia dan Universitas Negeri Yogyakarta serba sedikit dapat membawa keceriaan lalu mengukir senyuman di bibir mereka. Meskipun usaha yang dilakukan kelihatan begitu kecil sekali bak titisan air hujan, jika  mahu dibandingkan dengan usaha Pak Surayana yang berkorban tenaga, masa dan harta beliau, namun, titisan air tersebut mampu menghasilkan gelombang yang tersebar ke seluruh lautan. Dalam konteks yang lebih tepat, usaha mahasiswa sekecil manapun, jika dilakukan berterusan begini mampu mengubah dunia.

Disediakan oleh:
ERRA FAZIRA BINTI MANSOR
177252








Date of Input: | Updated: | suhaila_yusoff

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEaCAG~