BENGKEL KEUNGGULAN PENGURUSAN: BERSAMA MENGEMUDI KEJAYAAN, MENGURUS MASA DEPAN | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » BENGKEL KEUNGGULAN PENGURUSAN: BERSAMA MENGEMUDI KEJAYAAN, MENGURUS MASA DEPAN

BENGKEL KEUNGGULAN PENGURUSAN: BERSAMA MENGEMUDI KEJAYAAN, MENGURUS MASA DEPAN

BENGKEL KEUNGGULAN PENGURUSAN: BERSAMA MENGEMUDI KEJAYAAN, MENGURUS MASA DEPAN

OLEH : MUHAMMAD FIRDAUS MUHAMMAD ZAFRI

 

Serdang, 23 September 2024 – Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Bengkel Keunggulan Pengurusan 2024, bertujuan memperkasakan pengurusan pelajar dan memantapkan sistem pentadbiran kolej. Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini telah dihadiri oleh pengetua, felo, barisan staf pengurusan serta barisan Majlis Perwakilan Kolej Sesi 24/25 (MPK) dalam pengurusan dan penganjuran program.

 

Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Pengetua KTDI, Dr. Mohd Hafiz yang menekankan kepentingan profesionalisme dan kepimpinan dalam kalangan pelajar. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa pengurusan yang cemerlang adalah asas kepada kejayaan sesebuah organisasi. "MPK yang terlibat dalam pengurusan perlu berfungsi sebagai pemimpin yang berwibawa dan berdisiplin untuk memastikan kelancaran setiap program di kolej," katanya.

 

Bengkel ini merangkumi pelbagai sesi interaktif, termasuk Slot Sistem MPK, Penganjuran Program dan Sistem Merit Kolej, di mana peserta didedahkan kepada teknik pengurusan yang lebih sistematik dan efisien. Salah satu sesi yang mendapat perhatian ramai adalah MPK Race, sebuah aktiviti berkonsepkan perlumbaan yang menguji kemahiran peserta dalam menyelesaikan tugasan berkaitan pengurusan masa, kolaborasi, dan kepimpinan.

Barisan Badan Eksekutif menjadi contoh dalam slot Perkasa Protokol.

 

Menurut salah seorang peserta, Fazreen Aiman yang merupakan salah seorang MPK, bengkel ini sangat membantu dalam memperbaiki pengurusan tugas dan kerjasama antara ahli MPK. "Kami belajar bagaimana untuk lebih teratur dalam menjalankan tugas, selain memahami cara pengurusan yang lebih baik melalui perancangan dan pengurusan program."

 

 

Dalam sesi Kenali Felo KTDI, MPK diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan felo dan memahami peranan mereka dalam menjaga kebajikan pelajar. Sesi ini mendapat maklum balas positif kerana berjaya mengeratkan hubungan antara MPK dan felo, serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap peranan penting felo dalam kehidupan kampus.

 

Bengkel Keunggulan Pengurusan 2024 ini sekali lagi membuktikan komitmen KTDI dalam membina generasi pemimpin pelajar yang bukan sahaja cekap dari segi akademik tetapi juga berkemampuan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Semoga inisiatif seperti ini terus dikembangkan dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

Keluarga MPK KTDI 2024/2025 serta pihak pengurusan bergambar tanda kenangan.

Date of Input: 13/12/2024 | Updated: 13/12/2024 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1397
-
X, (04:37:15pm-04:42:15pm, 21 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]