DEBAT PIALA BELIA MADANI INTERVARSITI KOLEJ TUN DR ISMAIL UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA 2024
Oleh :Siti Nur Aqilah
21 Mei - Sekretariat Intelek dan Inovasi Kolej Tun Dr Ismail dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail, Kesatuan Mahasiswa dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah menganjurkan Pertandingan Debat Piala Belia Madani Intervasiti Kolej Tun Dr Ismail, Universiti Putra Malaysia 2024 (DPBM’24) yang disertai oleh 16 buah pasukan yang terdiri daripada Universiti Putra Malaysia dan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam luar.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan keupayaan berfikir secara kritis dan analitikal di kalangan pelajar tentang isu-isu semasa berasaskan tradisi argumentasi, perbincangan perbahasan, dan penganalisaan fakta .
Pertandingan pada kali ini dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama merupakan peringkat saringan yang dilakukan secara atas talian melalui aplikasi Zoom Meeting & Youtube Live . Proses berdebat secara atas talian melibatkan penggunaan platform video konferensi di mana setiap pasukan dan juri menyertai sesi secara langsung dari lokasi masing-masing. Manakala peringkat kedua merupakan peringkat penentuan ke suku akhir , separuh akhir dan pentas akhir yang dilakukan secara bersemuka di Universiti Putra Malaysia.
Pertandingan ini dimulakan dengan peringkat saringan yang bermula pada 21 sehingga 24 Mei 2024 yang terdiri daripada empat pusingan. Setiap pusingan dihakimi oleh juri yang berpengalaman dalam bidang perdebatan. Pertandingan ini menemukan pasukan-pasukan dari Universiti Putra Malaysia sendiri serta universiti luar, termasuklah pasukan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaya (UM), Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ASASI UIA), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Rajah 1 Ahli Eksekutif yang bertugas menjaga sidang peringkat saringan melalui Zoom Meeting
Selepas peringkat saringan, peringkat kedua yang merangkumi suku akhir, separuh akhir, dan penentuan ke pentas akhir telah diadakan. Suku akhir dan separuh akhir telah dijalankan pada 25 Mei secara bersemuka di Dewan Kuliah Akademik Pusat, UPM.

Rajah 3 Peringkat akhir DPBM 24 di Dewan Serbaguna Kementerian Belia Dan Sukan, Putrajaya
Pentas akhir telah berlangsung dengan penuh gemilang buat julung kalinya pada 26 Mei di Dewan Serbaguna, Podium B, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. Pentas akhir telah menemukan pasukan dari Universiti Malaya dan pasukan Universiti Malaysia Kelantan . Acara ini telah dihadiri oleh para jemputan kehormat, termasuk YBrs. Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia), YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail (Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan para jemaah pengetua kolej dan pentadbiran. Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan disempurnakan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, serta persembahan khas yang memeriahkan suasana.
Date of Input: 09/07/2024 | Updated: 09/07/2024 | farizaidi

Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia
Tel: 03 9769 1397