KEKAL AKTIF GAYA NORMA BAHARU BERSAMA AKTIF BERSAMA SIFU | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » KEKAL AKTIF GAYA NORMA BAHARU BERSAMA AKTIF BERSAMA SIFU

KEKAL AKTIF GAYA NORMA BAHARU BERSAMA AKTIF BERSAMA SIFU

KEKAL AKTIF GAYA NORMA BAHARU BERSAMA AKTIF BERSAMA SIFU

 

 

Oleh : Siti Rabiatul Najihah binti Mohamad

 

 

 

 

 

Sesi penghargaan bersama penasihat, pengarah dan atlet jemputan

 

 

SERDANG, 27 Disember 2020 – Sekretariat Sukan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) UPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM telah merasmikan program bersiri Aktif Bersama Sifu (ABS) dan seterusnya berjaya menganjurkan ABS siri kedua melalui medium atas talian baru-baru ini. Program ABS2.0 ini diteruskan dengan pelbagai inovasi yang dilakukan berbanding program ABS1.0 sempena norma baharu yang diharungi oleh semua pihak dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Pengarah program Aktif Bersama Sifu 2.0, Siti Rabiatul Najihah menjelaskan program Aktif Bersama Sifu ini merupakan satu program yang bertujuan sebagai salah satu langkah pendedahan tentang sukan yang popular dalam kalangan mahasiswa UPM kepada orang ramai secara maya.

 

“Kami amat berbangga dan teruja kerana program ini telah menjadi satu fenomena kepada semua penonton sejak program ABS 1.0. Justeru, kami dari sekretariat sukan KTDI UPM memikirkan inisiatif lain untuk menjalankan bengkel tersebut dalam keadaan pandemik ini dengan lebih menarik dan berjaya untuk melakukan beberapa inovasi dari segi kelancaran program. Program yang mengajar teknik dan teori sukan bola jaring ini juga diadakan secara siaran langsung di atas talian” katanya.

Program ABS siri 2.0 ini bermula dengan pengenalan sukan bola jaring. Tenaga pengajar (yang digelar Sifu dalam program ini) terdiri daripada Mahasiswa KTDI UPM yang berpengalaman dalam sukan bola jaring dan juga merupakan atlet kolej dan UPM. Atikah Idris, atlet bola jaring yang juga merupakan pelajar Bacelor Pendidikan Pendidikan Jasmani, berkata “Saya rasa amat bangga kerana terpilih sebagai Sifu yang berpeluang untuk berkongsi ilmu bola jaring dan ini merupakan pengalaman pertama saya mengajar suatu sukan secara maya. Pengalaman yang luar biasa dan amat menyeronokkan”.

 

 

 

 

Segmen dua bersama salah seorang sifu bola jaring

 

 

Penasihat program, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen yang juga merupakan felo kolej berkata, progam ABS 2.0 memberi pendedahan kepada orang ramai tentang teori dan teknik asas permainan bola jaring dengan lebih interaktif dan mesra penonton. Katanya, program ini memberi peluang serta membantu orang ramai yang berminat untuk menceburkan diri dalam sukan bola jaring tidak kira wanita mahupun lelaki terutamanya ketika dalam situasi pandemik COVID -19 ini.

 

“Program Aktif Bersama Sifu 2.0 ini merupakan satu inisatif kami untuk membantu warga diluar sana untuk belajar asas bola jaring dengan lebih interaktif dan menarik.” Tambahnya lagi, “Program ini menerima sambutan yang amat menghangatkan kerana ramai penonton terdiri daripada lelaki dan juga wanita. Nampaknya, ramai juga warga lelaki yang berminat dengan sukan bola jaring ini.” katanya dalam suatu kenyataan. Program yang berjalan selama dua jam ini dihangatkan lagi oleh kehadiran tetamu atau atlet jemputan, Norashikin Kamalzaman yang merupakan seorang atlet kebangsaan bola jaring dan juga merupakan mahasiswa UPM. Kehadiran beliau dalam siaran langsung tersebut telah menarik minat penonton untuk berkecimpung dalam arena sukan bola jaring secara tidak langsung meningkatkan lagi jumlah penonton.

 

 

Contoh video yang disediakan oleh salah seorang sifu bola jaring

 

 

“Saya amat berbesar hati apabila dijemput sebagai tetamu jemputan dalam program yang hebat seperti ini”. Tambahnya lagi, “Melalui program ini, saya boleh menyumbang ilmu bola jaring kepada semua penonton di luar sana dan saya juga berharap dengan ilmu yang diberikan, sedikit sebanyak dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet bola jaring Malaysia yang boleh mengharumkan nama negara kelak. Apa yang penting ialah kita mestilah terus berusaha dan jangan berputus asa untuk mencapai sesebuah impian yang anda semua impikan” katanya.

 


            Program ini mendapat sambutan yang hangat dari semua peminat sukan seluruh pelosok Malaysia dan berjaya mencatatkan lebih daripada 2.3k tontonan di laman Facebook rasmi KTDI UPM. Al Hakim, salah seorang peserta ABS 2.0 berkata program ini telah menaikkan semangatnya untuk mencuba sukan yang sering didominasi oleh ramai wanita iaitu sukan bola jaring dan tidak teragak-agak untuk berkecimpung dalam sukan tersebut.

 

“Selepas saya mengikuti program live ini, saya telah memahami sukan bola jaring termasuk teknik dan peraturan sukan ini. Saya telah mengikuti program ini sejak siri pertama kerana progam ini amat menarik dan berlainan dengan program lain yang banyak berbentuk seminar. Saya amat tertarik dengan teknik yang ditunjukkan oleh para sifu dan teruja untuk mencuba sukan bola jaring ini kelak. Saya tak sabar untuk terus mengikuti program ini untuk siri yang seterusnya untuk mempelajari lebih banyak sukan lain.” Katanya.

Program Aktif Bersama Sifu 3.0 akan diteruskan dalam sukan badminton yang juga merupakan sukan kebanggaan UPM. Nantikan kemunculan atlet kebangsaan yang juga merupakan mahasiswa UPM dalam program Aktif Bersama Sifu - kekal aktif, aktif bersama sifu (Stay active, active with sifu)!

Date of Input: 13/04/2021 | Updated: 13/04/2021 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXETWAl~