KONVO NUANSA ZAPIN INTERKOLEJ 2022 : ASMARALOKA AKAN TERUS BERSINAR | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » KONVO NUANSA ZAPIN INTERKOLEJ 2022 : ASMARALOKA AKAN TERUS BERSINAR

KONVO NUANSA ZAPIN INTERKOLEJ 2022 : ASMARALOKA AKAN TERUS BERSINAR

OLEH: HUDA BINTI MOHAMAD NASHIR

 

SERDANG, 2 Disember – Setelah lebih dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19, Pertandingan Konvo Nuansa Zapin Interkolej 2022 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM (BHEP) kerjasama Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (PKKSSAAS) yang berlangsung di Panggung Percubaan, PKKSSAAS UPM mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar.

 

Para peserta bersama Ketua Unit Tarian KTDI

 

Konsep pertandingan pada kali ini adalah gabungan antara nyanyian dan tarian yang dipersembahkan  secara langsung oleh semua peserta di mana setiap peserta perlu menyanyikan sebuah lagu zapin dari mana-mana pilihan lagu zapin sedia ada dan dipersembahkan bersama tarian zapin yang digarap secara kreatif di mana konsep ini diketengahkan untuk memberi kebebasan berkarya kepada semua peserta tetapi masih mengekalkan ragam dan langkah zapin yang dipelajari sekaligus dapat mempelbagaikan lagi bentuk persembahan yang disampaikan.

Makna nuansa itu sendiri adalah kepelbagaian dan kelainan yang ingin ditonjolkan supaya dapat menarik minat yang lebih kepada generasi muda masa kini untuk menghayati kebudayaan bangsa sekaligus dapat memelihara warisan yang tidak ternilai ini dan menerusi muzik zapin juga, para pelajar khususnya dapat meningkatkan jati diri sebagai warga Malaysia yang cintakan adat resam dan tatasusila.

Kolej Tun Dr Ismail telah menghantar sembilan orang peserta untuk menyertai pertandingan ini dan berjaya mempersembahkan tarian zapin dengan iringan lagu yang bertajuk Dondang Dendang nyanyian Noraniza Idris justeru telah menghangatkan suasana pada malam itu dengan permainan lampu dan penguasaan teknikal yang begitu mantap telah memukau para penonton.

Pertandingan ini turut diwakili oleh  sepuluh buah kolej yang telah menyajikan pelbagai persembahan menarik bagi  merebut kejuaraan dan anugerah-anugerah yang dipertandingkan iaitu Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga, Anugerah Busana Terbaik,  Anugerah Tarian Terbaik, Anugerah Kreativiti Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik dan tidak dilupakan UPM Kampus Bintulu, Sarawak juga telah menghantar wakil untuk menyertai pertandingan ini.

 

Sesi fotografi bersama para peserta, Naib Canselor, Pengetua, dan para penyokong kuat Kolej Tun Dr Ismail di Panggung Percubaan, PKKSSAAS UPM.

 

ASMARALOKA merupakan nama kumpulan KTDI yang merupakan hasil ciptaan idea yang datangnya daripada perbincangan para pelajar Sekretariat Kebudayaan, Kesenian dan Perpaduan sesi 2022/2023 ; ASMARALOKA KTDI yang membawa maksud kisah percintaan ini diambil setelah melihat kepada tarian antara pasangan yang begitu serasi.

Sedikit perkongsian ringkas bahawasanya tarian zapin ini sinonim dengan negeri Johor dan dikatakan menjadi pencetus tarian itu sehingga diterima oleh masyarakat dan menjadi antara kemestian dalam setiap keraian, malahan tarian ini sering dipaparkan dalam katalog atau risalah pelancongan negeri Johor justeru menjadikan zapin dan Johor seperti tidak dapat dipisahkan.

Pertandingan Konvo Nuansa Zapin Interkolej 2022 telah membuktikan bahawa para pelajar mampu mempersembahkan zapin yang menarik serta kreatif dan pertandingan ini wajar mendapat sokongan positif daripada semua warga UPM.

Akhir kata, KTDI telah memberikan persembahan yang terbaik untuk pertandingan ini dan ASMARALOKA tetap juara di hati para penonton dan kalah bukan bererti gagal, tetapi ini merupakan permulaan bagi KTDI untuk terus bersinar.

Date of Input: 03/02/2023 | Updated: 03/02/2023 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEYXAw~