KUKEM KPSM Serlah Bakat Pemimpin Muda KTDI & K5 | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » KUKEM KPSM Serlah Bakat Pemimpin Muda KTDI & K5

KUKEM KPSM Serlah Bakat Pemimpin Muda KTDI & K5

SERDANG. 13 FEB 2019 - Dengan konsep kepelbagaian diraikan, kecemerlangan diciptakan, majlis yang begitu meriah dijalankan di Dewan Harmoni Kolej Kelima UPM.

Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Mahasiswa (KUKEM) dan Kursus Pembangunan Sahsiah Mahasiswa (KPSM)  bagi tahun 2019 sempurna dirasmikan oleh Prof Madya Dr Mohd Azani Alias - Pengerusi Jemaah Pengetua, kolej Kediaman UPM.

"Menjadi harapan saya agar semua peserta yang terlibat dengan kursus ini dapat mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah dipelajari selama 6 hari ini bagi membantu kelancaran para peserta dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing di kolej/fakulti/universiti.

"Saya yakin apa yang para pelajar pelajari dan perolehi sepanjang tempoh kursus ini sedikit sebanyak juga akan menjadi titik tolak kepada permulaan menjadi seorang pemimpin yang disegani.

Beliau yang juga Pengetua Kolej Canselor Dan Kolej Keenam berharap agar objektif kursus yang telah dirancang dapat dicapai setelah melalui tempoh 6 hari berkursus bagi KPSM yang telah dijalankan di Kolej Kelima dan Berhulu Camp, Jempol, Negeri Sembilan manakala bagi KUKEM yang telah dijalankan di Kolej Tun Dr. Ismail dan Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah, Selandar, Melaka.

Saudari Aimi I’zzati Tajuden selalu Pengarah Kursus Pembangunan Sahsiah Mahasiswa 2019, berganding bersama Saudara Muhammad NurHaqim Nor Sam, Pengarah Kursus Kepimpinan Mahasiswa 2019, berjaya melaksanakan Kedua Kem dengan jayanya menerusi kerjasama mantap barisan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kelima dan Kolej Tun Dr. Ismail serta urusetia dan para peserta Kursus Pembangunan Sahsiah Mahasiswa dan Kursus Kepimpinan Mahasiswa Edisi 2019.

"Saya difahamkan objektif kursus ini adalah untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan serta memangkin tahap pengetahuan, kemahiran dan minat terhadap aktiviti luar dewan kuliah di samping membimbing mahasiswa-mahasiswa mengaplikasikan disiplin ilmu secara menyeluruh", katanya lagi.

Beliau juga percaya amalan disiplin yang baik, dan kepimpinan yang berhemah dikalangan pemimpin setiap organisasi mencerminkan identiti sesebuah kolej/fakulti/universiti.

"Sikap ini akan dapat memberikan gambaran kepada orang awam terutamanya ibu bapa betapa keseluruhan kolej/fakulti/universiti mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi yang boleh dicontohi oleh anak-anak mereka kelak.

"Amalan yang baik ini hendaklah sentiasa dipraktikkan sehingga menjadi budaya dan turut diikuti oleh rakan-rakan dalam satu organisasi yang sama.

Sehubungan itu, besarlah harapan beliau agar para peserta yang hadir pada hari ini dapat berkongsi ilmu yang diperoleh dengan rakan-rakan yang lain agar ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama demi kepentingan bersama.

Turut hadir memeriahkan majlis termasuklah Prof. Dr. Sidek Hj. Abdul Aziz - Pengetua Kolej Kelima & Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia, Encik Abdul Hadi Abdul Rashid - Pengurus Kolej Kelima, barisan felo Dan Pengurusan Kolej Kelima dan Kolej Tun Dr. Ismail.

Gandingan mantap Saudara Ahmad Solahudin Ahmad Shamsuddin - Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kelima dan Saudara Muhammad Faizuddin Abdul Razak - Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail mendapat sokongan teguh dari Barisan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sesi 2018/2019.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalan menjayakan KPSM & KUKEM 2019 ini terutamanya kepada Pengarah program dan pihak urus setia yang telah bekerjasama dan berusaha untuk memastikan kedua-dua kursus ini berjaya dilaksanakan serta para peserta kursus yang berjaya menamatkan tempoh 6 hari kursus ini.

Date of Input: 15/02/2019 | Updated: 15/02/2019 | muliati

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7357
-
C1597049568