KURSUS KEPEMIMPINAN SMARTLEAD 2025 (SL’25): MEMBENTUK SISWA MADANI | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » KURSUS KEPEMIMPINAN SMARTLEAD 2025 (SL’25): MEMBENTUK SISWA MADANI

KURSUS KEPEMIMPINAN SMARTLEAD 2025 (SL’25): MEMBENTUK SISWA MADANI

OLEH : MOHAMAD AMIRUL ASHRAF JEMY

 

Selangor, 27 Februari 2025 – Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) sesi 2024/2025 dengan kerjasama pihak pengurusan KTDI, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Kursus Kepemimpinan SmartLead 2025 (SL’25): Membentuk Siswa Madani. Program ini berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Februari 2025 bertempat di Kolej Tun Dr Ismail dan Kem Rimba Tamu, Batang Kali, Selangor.

 

Fasa 1: Kolej Tun Dr Ismail, UPM
Fasa 2: Kem Rimba Tamu, Batang Kali

 

Kursus ini merupakan inisiatif tahunan yang berteraskan pembentukan jati diri, nilai kepimpinan, dan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Dengan tema Membentuk Siswa Madani, SmartLead 2025 memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah, ketahanan mental dan fizikal, serta keupayaan peserta mengurus cabaran sebagai pemimpin masa depan universiti. Program ini juga menyokong aspirasi ke-11 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasakan mahasiswa melalui latihan berbentuk amali, berstruktur, dan berpaksikan nilai murni.

Seramai 111 peserta, yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan 2 Kolej Tun Dr Ismail, telah dipilih menyertai kursus ini bersama 40 orang ahli Majlis Perwakilan Kolej serta 21 orang Majlis Perwakilan Blok yang bertindak sebagai penggerak utama program. Antara pengisian utama program ini termasuklah ceramah motivasi, slot kepimpinan, forum alumni, aktiviti luar seperti explorace juara, kembara duga, war game dan malam kunang-kunang. Program ini turut diserikan dengan slot kerohanian & tatanegara yang dijalankan secara konsisten setiap hari bagi membentuk kepimpinan spiritual dan sahsiah peserta. Selain itu, malam kebudayaan bertemakan PUTRA iaitu Pertanian Untuk Rakyat turut menjadi medium peserta menonjolkan kreativiti dan semangat berpasukan dalam suasana santai namun bermakna.

Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, dalam ucapannya ketika sesi penutupan berkata, “SmartLead ini merupakan satu wadah pembentukan peribadi unggul yang menekankan bukan hanya aspek pengurusan dan kepimpinan, tetapi juga nilai disiplin, rohani dan kemasyarakatan. Ia adalah proses menyeluruh yang mencorak identiti siswa madani yang bersedia memimpin dengan berintegriti dan berakhlak.”

 

   
 Para peserta bekerjasama dalam menyelesaikan tugas

 

Beliau turut menggalakkan peserta agar mengaplikasikan segala ilmu dan nilai yang diperoleh dalam kehidupan seharian sebagai mahasiswa dan dalam gerak kerja organisasi. “Harapan saya, semangat yang dibina dalam SmartLead akan terus berkembang menjadi budaya dalam kalangan pelajar seperti budaya kepemimpinan, budaya cakna dan budaya berdedikasi,” katanya lagi.

Sementara itu, pengarah program, Nur Saffiyah binti Jalani, menyatakan bahawa persediaan dan pelaksanaan program telah memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua jawatankuasa. “Kami percaya setiap peluh yang jatuh, setiap cabaran yang dihadapi dan setiap senyuman yang terukir menjadi tanda kejayaan SmartLead 2025 dalam membentuk keperibadian unggul peserta,” katanya penuh bangga.

 

Riak wajah kegembiraan peserta yang terpancar, diselangi kepenatan yang tak terucap setelah slot kemuncak berjaya dilaksanakan dengan jayanya

 

 

SmartLead 2025 bukan sahaja meninggalkan kenangan manis dalam kalangan peserta, malah telah berjaya memupuk kebersamaan antara mahasiswa/i daripada pelbagai latar belakang, sekali gus memperkukuh jaringan sosial dalam komuniti kolej. Program ini membuktikan bahawa kepimpinan bukan semata-mata tentang arahan, tetapi tentang pengaruh, nilai dan teladan.

Sebagai penutup kata, SmartLead 2025 merupakan medan latihan yang menggabungkan fizikal, intelektual dan spiritual yang menjadikannya platform holistik untuk melahirkan pemimpin berkualiti. Mahasiswa Kolej Tun Dr Ismail kini lebih bersedia untuk mendepani cabaran dunia universiti dan kehidupan masa hadapan dengan semangat siswa madani yang sebenar.

Date of Input: 16/06/2025 | Updated: 16/06/2025 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1397
-
W, (03:50:54am-03:55:54am, 10 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]