Majlis Pewarisan Dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail Sesi 2024/2025 Disusuli Slot Untaian Kasih Seribu Harapa | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » Majlis Pewarisan dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail Sesi 2024/2025 Disusuli Slot Untaian Kasih Seribu Harapa

Majlis Pewarisan dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail Sesi 2024/2025 Disusuli Slot Untaian Kasih Seribu Harapa

Majlis Pewarisan dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail Sesi 2024/2025 Disusuli Slot Untaian Kasih Seribu Harapan

 

Selangor, 1 Julai 2024 - Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail sesi 2023/2024 telah mengadakan Majlis Pewarisan dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej yang bertujuan untuk menyerahkan tugas daripada barisan kepemimpinan yang lama dan mengumumkan pelantikan barisan Majlis Perwakilan Kolej Tun Dr Ismail yang bakal menerajui kepemimpinan yang seterusnya. Dalam majlis ini juga, terdapat simbolik penyerahan surat lantikan dan bacaan ikrar. Dengan adanya majlis ini, diharapkan para pemimpin baharu lebih bersemangat dalam menjalankan tugas. Fokus utama bagi mengadakan majlis ini adalah untuk merapatkan hubungan antara barisan kepemimpinan kolej bagi mencapai kecemerlangan yang disasarkan. Seterusnya, adalah untuk merancang program yang strategik yang dapat memberi impak kepada pembangunan pelajar di kolej kediaman. Fokus yang terakhir adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan cemerlang dalam bidang kepemimpinan.

 

Seramai 153 orang Majlis Perwakilan Kolej sesi 2023/2024 dan Majlis Perwakilan Kolej sesi 2024/2025 telah terlibat untuk menjayakan Majlis Pewarisan dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Kolej ini. Majlis ini dapat memberikan impak kepada mahasiswa dalam mengukuhkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa iaitu dari segi melatih MPK dalam mengendalikan program dengan sistematik dan berkesan, serta mengeratkan hubungan antara mereka dan pihak pengurusan kolej. Selain itu juga, dengan adanya majlis seperti ini ia dapat memupuk kecekalan dalam diri MPK untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada organisasinya. Tambahan pula, MPK akan dapat menambah jaringan kerjasama hubungan luar untuk melaksanakan program akan datang.

 

 

Sesi penyampaian sijil dan cenderamata kepada

MPK sesi 23/24

 

Gimik serahan tugas Presiden MPK sesi 23/24 kepada Presiden MPK 24/25 yang disaksikan oleh pengetua Kolej

 

 

Majlis ini telah berlangsung dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada MPK sesi 2023/2024. Setelah itu, majlis diteruskan dengan ucapan terakhir daripada Presiden MPK sesi 2023/2024 iaitu Saudara Muhammad Firdaus Bin Zulkifli dan diikuti dengan gimik penyerahan tugas kepada MPK yang baharu. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan bacaan ikrar MPK baharu sesi 2024/2025 yang diketuai oleh Saudara Muhammad Firdaus Bin

 

Muhammad Zafri. Seterusnya, ucapan daripada Presiden MPK sesi 2024/2025 dan disusuli dengan ucapan Pengetua Kolej Tun Dr Ismail iaitu YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid. Memetik kata daripada YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, ‘Sebagai pemimpin anda perlu sentiasa bersedia menghadapi segala rintangan dan cabaran’. Inilah sifat yang perlu ada pada MPK kerana di masa akan datang mereka akan berdepan dengan lebih ramai orang yang memiliki pelbagai karakter. Jadi, perlu untuk mereka bersedia dengan segala kemungkinan.

 

Pada keesokan harinya, Slot Untaian Kasih Seribu Harapan sambungan daripada Majlis Watikah Pelantikan dan Perwarisan Majlis Perwakilan Kolej telah bermula seawal pukul 2.00 petang dengan aktiviti persiapan rewang memasak yang melibatkan MPK, pihak pengurusan, dan felo kolej. Aktiviti ini merangkumi beberapa sesi penting seperti solat, menyusun atur dewan, dan memasak, semuanya dilakukan dengan semangat kerjasama yang tinggi. Selepas persiapan rewang selesai, semua yang terlibat mengambil masa untuk bersiap dan menunaikan solat Maghrib. Ini memastikan semua peserta dalam keadaan yang terbaik mengikut tema “Kain Batik, Kain Pelikat” sebelum majlis rasmi bermula.

 

 

 

Sesi Santapan Kasih

 

Ucapan daripada Timbalan Presiden

MPK sesi 23/24

 

Majlis rasmi dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat pada pukul 8.00 malam. Antara tetamu yang hadir termasuklah Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, pihak pengurusan, felo, serta ahli-ahli MPK. Pengerusi majlis memulakan acara dengan ucapan aluan, diikuti dengan bacaan doa yang dipanjatkan untuk memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung. Acara diteruskan dengan sesi Santapan Kasih, di mana para hadirin menikmati hidangan yang telah disediakan. Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan alunan lagu-lagu klasik 80-an, yang menambahkan lagi suasana nostalgia dan keakraban di kalangan hadirin.

 

Pengarah program memberikan ucapan yang penuh penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, menzahirkan rasa terima kasih atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan. Ucapan seterusnya disampaikan oleh Timbalan Presiden MPK sesi 2023/2024, yang mengenang pengalaman sepanjang tempoh kepemimpinannya serta memberikan kata-kata semangat kepada barisan MPK yang baru. Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi, menekankan kepentingan sifat kepemimpinan yang cekap dan berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan. Beliau mengingatkan para pemimpin baru bahawa mereka

 

perlu sentiasa bersedia menghadapi segala rintangan dan cabaran. Sesi santapan kasih diteruskan, memberikan peluang kepada semua hadirin untuk berinteraksi dan menjalin hubungan yang lebih erat dalam suasana yang santai dan mesra. Majlis diakhiri dengan sesi bersurai, di mana semua tetamu meninggalkan majlis dengan perasaan gembira dan bersemangat untuk menghadapi tugas-tugas baru.

 

Akhir kata, matlamat dan objektif program ini telah dicapai dan berjaya mendapat sokongan dan pengalaman daripada pelbagai pihak. Segala cabaran dan masalah juga dapat ditangani melalui kerjasama yang baik antara setiap ahli jawatankuasa.

Date of Input: 18/07/2024 | Updated: 25/07/2024 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1397
-
X, (03:42:46pm-03:47:46pm, 21 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]