MENJANA PENDAPATAN SEBAGAI CONTENT CREATORS? | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » MENJANA PENDAPATAN SEBAGAI CONTENT CREATORS?

MENJANA PENDAPATAN SEBAGAI CONTENT CREATORS?

MENJANA PENDAPATAN SEBAGAI CONTENT CREATORS?

 

By Nurun Nabihah Binti Mohamad Salman

            Pada 4 November yang lalu, sekali lagi Seketeriat Keusahawanan, Alumni dan Kerjaya (SKA) telah membawa seorang bekas pelajar UPM yang hebat ke pentas Live Facebook Kolej Tun Dr Ismail (KTDI). Beliau merupakan seorang pereka konten yang sudah mempunyai syarikat sendiri serta mampu untuk menjana pendapatan sehingga 5 angka untuk sebuah karya beliau. Anak muda kelahiran Selangor ini yang bernama Muhammad Zaim Haziq atau lebih mesra dikenali sebagai Zaim merupakan pemilik syarikat ZAMIQO Production. Beliau telah dijemput oleh Pengerusi SKA iaitu saudara Adib Anuar dengan Kerjasama CEM, UPM untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang perlu ada dalam diri seorang content creator.

 

            Beliau yang merupakan pelajar jurusan Rekabentuk Industri telah menceritakan pengalaman beliau semasa masih berjinak-jinak dalam aktiviti rakaman. “Video pertama saya telah direkod di Kolej 10 menggunakan telefon bimbit iPhone 6 sahaja. Walaupun video saya agak hambar, tapi keinginan untuk meneruskan penghasilan video terlalu tinggi dalam diri saya. Jadi saya mencuba untuk membuat lebih banyak video,” kata Encik Zaim. Beliau telah mengambil masa 4 tahun untuk menaikkan nama di dalam media sosial dan menjana pendapatan melalui hobi yang diminatinya. Baginya, minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang diinginkan adalah amat penting untuk memastikan kita tidak mudah berputus asa.

 

            Seperti semua pekerjaan lain, pereka konten juga pasti menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Menurut perkongsian Encik Zaim tempoh hari, seorang pereka konten haruslah mempunyai kesabaran yang tinggi. Beliau menyatakan bahawa bukan mudah untuk menarik perhatian semua orang untuk menonton karya yang telah dihasilkan. Kadangkala, Encik Zaim juga pernah putus idea untuk mencipta video kreatif menarik. Namun, dia mengambil masa untuk berehat dan berada dikalangan orang orang yang akan sentiasa menyokong beliau didalam kerjaya. Ada juga pengalaman pahit seperti tidak dibayar oleh pelanggan dan kejadian video yang dihasilkan terpadam dengan tidak sengaja. Encik Zaim menganggap segala cabaran dan pengalaman pahit yang berlaku sebagai sesuatu yang akan menaikkan lagi semangat beliau untuk terus berada di dalam bidang ini.

 

             Ketika ditanya pendapatnya tentang adakah pereka konten ini satu hobi ataupun suatu pekerjaan, beliau beranggapan bahawa ianya adalah bergantung kepada diri kita sendiri untuk menjadikan sesebuah hobi itu bermanfaat sehingga menghasilkan pulangan ataupun tidak. Baginya seorang pereka konten haruslah mempunyai informasi maklumat atau idea yang ingin disampaikan kepada dunia dalam bentuk yang berhemah dan memberi manfaat kepada orang lain. “Seorang pelajar adalah lebih mudah untuk menghasilkan konten daripada apa yang telah dipelajarinya di kelas. Itu juga adalah perkara menarik yang mungkin boleh memberi manfaat kepada orang lain”, kata Encik Zaim.

 

            Sebelum menamatkan sesi Live di facebook KTDI yang mendapat tontonan sebanyak 615 orang penonton itu, beliau telah berkongsi beberapa tips dan ilmu yang boleh digunakan oleh para pelajar UPM dan seluruh rakyat Malaysia untuk penghasilan konten dan video yang menarik. Menurut Encik Zaim, seseorang itu mestilah menghasilkan banyak portfolio dan kongsikannya kepada dunia melalui pelbagai platform seperti Facebook, Instagram dan Youtube. Selain kesabaran yang tinggi, beliau juga menegaskan bahawa sentiasa menambah ilmu pengetahuan juga adalah penting dalam perjalanan untuk menjadi seorang yang berjaya. Pembelajaran tidak semestinya sentiasa didalam kelas tetapi juga melalui rakan dan media sosial seperti Youtube. Beliau yakin bahawa setiap orang itu boleh berjaya dengan apa yang diminatinya kerana minat dalam diri mampu memberi semangat yang tinggi kepada kita untuk meneruskan perjalanan ke arah kejayaan.

Date of Input: 30/11/2020 | Updated: 30/11/2020 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEUOAL~