SEMBANG SANTAI BERSAMA ALUMNI KTDI – KEUTAMAAN ATAU KEPERLUAN ? | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » SEMBANG SANTAI BERSAMA ALUMNI KTDI – KEUTAMAAN ATAU KEPERLUAN ?

SEMBANG SANTAI BERSAMA ALUMNI KTDI – KEUTAMAAN ATAU KEPERLUAN ?

 

 

SEMBANG SANTAI BERSAMA ALUMNI KTDI – KEUTAMAAN ATAU KEPERLUAN ?

Oleh Nurun Nabihah Binti Mohamad Salman

1 Nov 2020 –  Baru -baru ini, Seketeriat Keusahawanan, Alumni dan Kerjaya KTDI telah menjemput semua warga KTDI untuk menyertai program sembang santai bersama alumni melalui laman Facebook Live KTDI. Program yang diadakan pada 31 Oktober 2020 ini telah membawa 3 orang alumni KTDI yang hebat iaitu Encik Mohd Nazri Noh, Encik Ahmad Solahuddin dan Encik Abdul Hadi. Program Sembang Santai Bersama Alumni yang dipengacarakan oleh Muhammad Syafiq ini memberi peluang kepada para panel untuk memberi pendapat, nasihat dan berkongsi pengalaman semasa menetap dan belajar di KTDI,UPM. Ketiga-tiga tetamu tersebut merupakan pelajar KTDI yang telah menabur pelbagai bakti dan jasa untuk mengharumkan nama KTDI semasa mereka masih bergelar mahasiswa di UPM.

 

Live Facebook yang disertai oleh kira-kira 360 penonton itu telah membicarakan beberapa topik hangat seperti bagaimana para alumni membahagi masa antara akademik dan tanggungjawab yang digalas di dalam organisasi di KTDI. Menurut Encik Mohd Nazri yang merupakan bekas Naib Presiden Kolej KTDI (digelar Kolej Ketiga pada ketika itu), beliau merupakan pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama dan berpendapat bahawa seorang pelajar tidak seharusnya mengabaikan akademik ketika sibuk mengejar kokurikulum. Beliau yang pernah menyandang pelbagai jawatan di peringkat KTDI dan UPM seperti Presiden Kelab Debat dan pemain Bola Sepak di UPM, sentiasa mengingatkan dirinya bahawa jika beliau tidak bergraduat dalam bidang akademiknya, segala pengalaman yang telah dicipta dalam aktiviti kepimpinan dan sukan tidak dapat digunakan di masa hadapan.  Menurut beliau lagi, setiap insan di muka bumi ini diberi masa 24 jam yang sama. Oleh itu, kita perlu menentukan dengan bijak bagaimana kita hendak memanfaatkan masa 24 jam yang telah diberikan dalam kehidupan seharian.

 

Panel kedua dan ketiga yang baru sahaja menamatkan zaman pembelajaran mereka pada tahun 2019/2020 yang lalu berkongsi kisah yang sama tetapi pendapat yang sedikit berbeza dari Encik Nazri yang telah menjadi alumni bertahun lamanya. Encik Solahuddin dan Encik Hadi yang merupakan presiden bagi kolej KTDI berpendapat bahawa rakan-rakanlah yang memainkan peranan penting ketika mereka menjawat jawatan besar dalam organisasi ketika di KTDI. Rakan-rakan seperjuangan yang sering memberi peringatan tentang tugasan yang perlu disiapkan dan dihantar dianggap sangat prihatin. Encik Solahuddin yang memegang jawatan presiden selama satu semester itu berkata “Guru saya selalu berpesan agar membezakan keutamaan dan keperluan dalam melakukan sesuatu perkara”. Beliau telahpun menyerahkan jawatan pengerusi yang disandangnya ketika itu kepada Encik Hadi kerana beliau perlu mengutamakan keperluan jam bergraduat sebagai seorang mahasiswa yang perlu dicapai ketika itu. “Sebagai seorang yang mempunyai tanggungjawab terhadap akademik dan organisasi, kita perlu juga memberi ruang dan masa kepada diri kita. Jangan sesekali mengabaikan kesihatan mental mahupun fizikal. “Sekiranya kita merasa tidak mampu untuk melakukan sesuatu, jangan hanya simpan didalam hati”, tambah Encik Hadi ketika pengacara bertanyakan pendapat beliau tentang cara pengurusan masa yang terbaik sebagai seorang Presiden.

 

 

 

Pada akhir sesi Live tersebut, panel panel telah diberi peluang untuk mengucapkan harapan dan nasihat mereka kepada pelajar yang masih menetap di KTDI. Ketiga-tiga panel amat berharap agar pelajar sentiasa berusaha untuk mengharumkan nama KTDI sebagai kolej yang juara. Sebagai seorang Mahasiswa, kita perlulah berani dalam mengutarakan kebenaran dan idealisme yang jelas. Di samping itu, pelajar juga mestilah menjadikan penglibatan dalam aktiviti kolej sebagai satu pengalaman yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Keyakinan dan usaha yang tinggi akan membuahkan kejayaan yang diimpikan oleh setiap pelajar. Akhir kata, segala perbezaan yang berlaku di antara kita adalah komponen yang akan menyempurnakan kita semua sebagai satu warga KTDI yang bersatu-padu.

Date of Input: 24/11/2020 | Updated: 26/11/2020 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXERCAx~