OLEH: NURUL A’AINA BINTI DAUD
Serdang, 14 April – Kelab Ikhwan Kolej Tun Dr Ismail dengan kerjasama Sekretariat Kerohanian, Keselamatan dan Kebajikan (3K) telah menganjurkan Program Smart Ramadan Kolej Tun Dr Ismail sempena Ramadan 1444h/2023 yang bermula pada 22 Mac 2023 sehingga 14 April 2023 bertempat di kawasan kolej sendiri dan di sekitarnya.
Pelajar Kolej Tun Dr Ismail melaksanakan Solat Tarawih
secara berjemaah yang diadakan di Dewan Sri Harmoni
Program yang saban tahun diadakan pada bulan Ramadan ini bertujuan untuk mengaplikasikan aktiviti-aktiviti kerohanian yang menjadikan warga Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) sebagai peserta dan membolehkan penghuninya berpeluang untuk lebih menghayati bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
Program ini dimulakan dengan Solat Tarawih secara berjemaah sebanyak 11 rakaat yang diketuai oleh imam dalam kalangan pelajar lelaki Kolej Tun Dr Ismail di Dewan Sri Harmoni dan terus dimeriahkan dengan program Tadarus Al-Quran Perdana yang disertai seramai 46 orang pelajar KTDI dan dilaksanakan selepas solat tarawih atau mengikut masa kelapangan peserta.
Program rewang bubur lambuk telah menghasilkan sekurang-kurangnya 600 paket bungkusan bubur lambuk daging dan bubur lambuk ayam telah diedarkan dengan jayanya kepada warga Kolej Tun Dr Ismail, para pelajar, pengetua-pengetua kolej kediaman, dan kenderaan-kenderaan yang melalui hadapan Kolej Tun Dr Ismail.
Pengetua mengagihkan bubur lambuk kepada
pemandu kenderaan yang melalui hadapan Kolej Tun Dr Ismail.
Menjelang penghujung Ramadan, Program Malam 7 Likur diadakan setiap malam dengan aktiviti pemasangan lampu pelita di sekitar kawasan Kolej Tun Dr Ismail selepas solat Maghrib oleh ahli jawatankuasa yang bertugas.
Selanjutnya, Majlis Penutupan Program Smart Ramadan dimeriahkan dengan sesi tazkirah Amalan Pemakanan Semasa Ramadan Dan Syawal bertajuk Syukur vs Mudarat oleh Ustaz Muhammad Norhisyam Bin Nordin. Pengetua Kolej Tun Dr Ismail berharap pelajar dapat meningkatkan penghayatan terhadap ayat suci Al-Quran yang mampu melahirkan para pelajar yang seimbang kecemerlangannya dari segi duniawi dan ukhrawi.
Akhir kata, Program Smart Ramadan Kolej Tun Dr Ismail sempena Ramadan 1444h/2023 wajar diteruskan agar dapat mewujudkan institusi masyarakat Muslim dalam kalangan pelajar Kolej Tun Dr Ismail yang akrab dan menjadikan amal ibadat sebagai perkara yang mendatangkan keseronokan serta bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT terutama dalam bulan Ramadan yang Mulia.
Date of Input: 14/06/2023 | Updated: 14/06/2023 | farizaidi
Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia
Tel: 03 9769 7371