BENGKEL ASAS SENI TARI ETNIK BORNEO 2.0 (BASTEB 2.0)
Serdang, 24 April – Unit Mahasiswa Borneo (UMB), Sekretariat Kebudayaan, Kesenian dan Perpaduan, Kolej Tun Dr Ismail telah menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Kebajikan Anak Sarawak (PERKASA SARAWAK) dan Persatuan Mahasiswa Sabah UPM (PERMASA PUTRA) bersama-sama melaksanakan program BASTEB 2.0 yang telah dianjurkan oleh PERKASA SARAWAK pada 22, 23 dan 24 April 2024 dari pukul 8:00 malam sehingga 11:00 malam.
Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk mengajar dan memberi pendedahan kepada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain di Malaysia mengenai teknik asas seni tari Borneo. Di samping itu, program ini juga dapat membuka peluang kepada mahasiswa Sarawak dan Sabah untuk menyerlahkan lagi bakat mereka sebagai persediaan bagi pertandingan Malam Bumi Kenyalang (MBK) dan Malam Citra Bayu (MCB) yang bakal berlangsung pada tahun ini di Universiti Sains Malaysia (USM).
Melalui program ini, mahasiswa Universiti Putra Malaysia mendapat pendedahan dan penerangan tentang budaya dan tradisi tarian asas etnik yang berasal dari Borneo. Bukan itu sahaja, program ini juga dapat mengukuhkan perpaduan dan membentuk integrasi dalam kalangan para peserta yang berbilang kaum dan negeri. Walhal daripada itu, program ini dapat memberi pengalaman baharu kepada peserta yang berasal dari negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan juga termasuk negara lain untuk mempelajari tarian asas etnik yang terdapat di Borneo serta dapat memberi peluang kepada bakat-bakat baru dalam seni kebudayaan untuk mewakili Universiti.

Sesi bengkel tarian etnik Sabah iaitu Murut Tohol
Seramai 60 orang peserta yang telah mendaftar termasuk barisan ahli jawatankuasa pelaksana bersama-sama mengikuti bengkel ini bagi menjayakan penganjuran BASTEB 2.0 yang telah dianjurkan pada tahun ini. Bengkel ini telah mendapat sambutan yang hangat bukan sahaja daripada kalangan mahasiswa di UPM malah bengkel ini juga disertai oleh para pelajar daripada universiti luar iaitu Malaysia University of Science And Technology.
Sesi bergambar bersama tetamu VIP, peserta dan barisan ahli jawatankuasa BASTEB 2.0
Pengarah program bagi BASTEB 2.0 pada tahun 2024 telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu VIP iaitu pengetua Kolej Tun Dr Ismail, Sarawak Volunteer, Majlis Perwakilan Pelajar (MPK) Kolej Tun Dr Ismail, dan semua ahli jawatankuasa BASTEB 2.0 serta tidak lupa juga kepada semua para peserta yang hadir bagi memeriahkan dan menjayakan Bengkel Asas Seni Tari Etnik Borneo 2.0.
Majlis penutupan BASTEB 2.0 diakhiri dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat, ahli jawatankuasa serta para peserta sebagai kenangan. Kesimpulannya, bahawa Bengkel Asas Seni Tari Etnik Borneo 2.0 telah mencapai kesemua objektif yang dinyatakan dengan komitmen daripada seluruh pihak UMB, PERKASA SARAWAK & PERMASA PUTRA.
Tarikh Input: 23/05/2024 | Kemaskini: 23/05/2024 | farizaidi

Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 1397