SERDANG, 9 MEI- Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail dengan kerjasama pihak pengurusan Kolej Tun Dr Ismail, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Kursus Kepemimpinan SmartLead 2024 (SL’24): Membentuk Siswa Madani yang bermula pada 5 Mei hingga 9 Mei 2024. Kursus ini diadakan secara dua fasa iaitu fasa 1 yang berlangsung di Kolej Tun Dr Ismail, UPM dan fasa 2 bertempat di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM, Negeri Sembilan.
Seramai 130 orang pelajar Kolej Tun Dr Ismail yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan tahun 2 telah menghadiri sesi temuduga bersama barisan Felo KTDI dan Majlis Perwakilan Kolej secara fizikal. Walaubagaimanapun, hanya 99 orang pelajar sahaja yang terpilih untuk menghadiri Kursus Kepemimpinan SmartLead 2024 (SL’24): Membentuk Siswa Madani. Kursus ini bertujuan untuk mencari pelapis-pelapis baharu bagi pemimpin Majlis Perwakilan Kolej KTDI sesi yang akan datang disamping dalam usaha untuk mencungkil bakat kepemimpinan dalam diri setiap peserta dan meningkatkan Kemahiran Insaniah (KI) dalam kehidupan mereka.

Slot Simpulan Kasih pada hari pertama
Kursus Kepemimpinan Smartlead 2024: Membentuk Siswa Madani
Matlamat utama kursus isi adalah untuk membina ketahanan mental yang tinggi dalam diri peserta dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan rintangan yang membantu mereka berfikir secara kritis, rasional serta jelas dalam menyelesaikan cabaran berikut. Kursus ini berjaya memberikan impak yang positif kepada para peserta apabila modul yang disediakan berjaya mencapai objektif dan meningkatkan tahap kemahiran insaniah mereka.
Pengarah Kursus Kepemimpinan SmartLead 2024 (SL’24) : Membentuk Siswa Madani, Nor Amni Shahira binti Cik Lah mengatakan bahawa untuk memimpin dan dipimpin bukanlah satu perkara yang mudah. Beliau juga turut berpesan 3 perkara kepada semua peserta iaitu jangan takut untuk membuat kesalahan, jangan mudah putus asa dan jangan malu untuk bertanya kerana perkara ini merupakan antara komponen penting kepada kita semua untuk membentuk sahsiah diri yang lebih baik. . Beliau juga berharap agar kursus ini mampu memberikan impak dan kesan yang positif dalam membentuk keperibadian mahasiswa yang berjiwa pemimpin dan mampu untuk memimpin di kemudian harinya.
Kursus ini melabuhkan tirai pada 9 Mei 2024 dengan harapan besar dari pihak Pengurusan Kolej serta Majlis Perwakilan Kolej (MPK), KTDI supaya kesemua 76 orang peserta yang berjaya menyelesaikan kursus ini dapat mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh sepanjang kehidupan seharian mereka sekaligus menjadi generasi yang menjadi medium penerus kepada moto harapan kolej iaitu “Juara Dambaan Warga” Kolej Tun Dr Ismail pada masa akan datang.

Sesi bergambar felo dan fasilitator bersama peserta SmartLead 2024 setelah slot kemuncak berjaya diselesaikan
Akhir kata, kursus ini adalah wajar untuk diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya bagi memastikan semua warga kolej pada masa akan datang mendapat input yang sama malahan lebih baik dan dapat digunakan sebagai seorang pelajar dan masyarakat walaupun sudah bergelar alumni kolej dan dapat mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang didapati ketika menghadapi dunia luar kelak.
Tarikh Input: 18/06/2024 | Kemaskini: 18/06/2024 | farizaidi

Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 1397