KEWARA, JUARA DILAHIRKAN BAKAT DIKENALI
Oleh - NURUL ZAFIRAH
Selangor, 20 Oktober - Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) sesi 2024/2025 dengan kerjasama pihak pengurusan KTDI, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Minggu Kenali Juara 2024 (KEWARA 2024) yang telah berlangsung pada 14 Oktober hingga 20 Oktober 2024.
KEWARA 2024 ini bertujuan untuk mengukuhkan semangat kekeluargaan yang sedia ada serta mencari bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar tahun 1 untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Program ini dapat membentuk generasi mahasiswa yang bersahsiah, berintegrasi, dan berketerampilan bagi melahirkan pelajar universiti yang unggul dalam kepimpinan, pentadbiran, dan pelaksanaan, di samping dapat memupuk sifat kerjasama serta perpaduan antara warga kolej yang bakal menerajui kecemerlangan kolej dalam memberikan pemahaman kukuh tentang kemahiran pembelajaran yang sesuai dengan kehidupan kampus ke arah pencapaian akademik yang cemerlang.
KTDI merupakan sebuah kolej yang bukan sahaja mementingkan pencapaian sahsiah dan akademik dalam kalangan pelajar, malah turut memberi penekanan kepada kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi.
KEWARA di KTDI mengambil langkah awal dengan penuh semangat untuk memperkenalkan kehidupan universiti yang penuh cabaran kepada mahasiswa baharu. Acara tahunan yang penuh dengan semangat ini mampu menawarkan pengalaman yang mengujakan serta pengetahuan yang berguna kepada mahasiswa baru, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran di alam universiti.
Minggu Kenali Juara 2024 (KEWARA 2024) tahun ini menyajikan pelbagai aktiviti yang mencabar dan menarik, bertujuan untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada mahasiswa baru.

Slot Amazing Race sedang dijalankan

Pengetua kolej membuat ucapan perasmian penutupan
Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid turut memberikan ucapan yang membangkitkan semangat dan inspirasi. Beliau berkata “KEWARA 2024 ini merupakan wadah kepada anda semua untuk mempelajari ilmu kehidupan di kampus disamping mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga kolej sekaligus untuk mencungkil bakat-bakat anda dalam pelbagai bidang seperti sukan dan kebudayaan melalui slot-slot yang dijalankan seperti Sukan Perpaduan Kewara dan persembahan gabungan.”
Sementelahan itu, beliau juga mengharapkan setiap peserta dapat menerapkan nilai murni yang diperoleh, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui program ini agar dapat merasai manisnya perpaduan dan cabaran nika dihadapi bersama. Dengan semangat dari ucapan pengarah program dan pengetua, mahasiswa baru KTDI kini dipenuhi inspirasi dan tekad yang membara, siap untuk melangkah berani ke dunia pendidikan tinggi yang penuh dengan peluang dan cabaran untuk mencapai impian dan menggenggam kejayaan di masa depan."Harapan saya agar nilai murni yang diperoleh, sama ada secara langsung atau tidak melalui KEWARA ini dapat diterapkan dalam diri setiap peserta," kata pengetua mengakhiri ucapannya.
Sebagai penutup kata, KEWARA 2024 yang telah dianjurkan di KTDI membuktikan bahawa menuntut ilmu bukan sekadar proses menghafal dan memahami, tetapi merupakan sebuah pengembaraan yang merangkumi penemuan jati diri yang utuh dan pembentukan sahsiah. Dalam suasana yang penuh inspirasi dan kebersamaan, mahasiswa baru KTDI bersiap sedia untuk melangkah ke arah masa depan yang cemerlang, di mana setiap langkah adalah peluang untuk menjelajahi potensi diri dan mencipta kejayaan yang tidak terhingga.
Tarikh Input: 13/12/2024 | Kemaskini: 13/12/2024 | farizaidi

Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 1397