OLEH: HUDA BINTI MOHAMAD NASHIR
SERDANG, 22 Oktober – Setelah lebih dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19, Pertandingan Malam Tunas Budaya 2022 sempena Minggu Perkasa Putra Kemasukan Pelajar Baharu bagi sesi 2022/2023 anjuran Seksyen Pengurusan Aktiviti Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung di Dewan Besar, PKKSSAAS UPM bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama Berpaksikan Rukun Negara” mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar UPM.
Malam Tunas Budaya merupakan sebuah pertandingan yang wajib disertai oleh para pelajar tahun satu sahaja bagi membina keberanian, mengasah kebolehan diri dan menonjolkan bakat terpendam yang dimiliki oleh para peserta dan Kolej Tun Dr Ismail berjaya merangkul tempat ketiga dan sekali gus membawa pulang Anugerah Teknikal Terbaik.
Kolej Tun Dr Ismail berjaya menghasilkan satu persembahan drama tari yang menggabungkan konsep moden dan tradisional yang dipersembahkan oleh MARGENRA, KTDI yang telah menghangatkan suasana pada malam itu dengan permainan lampu dan penguasaan teknikal yang mantap dan memukau para penonton.
Malam Tunas Budaya (MTB) turut diwakili oleh 9 buah kolej yang telah menyajikan pelbagai persembahan menarik bagi merebut kejuaraan dan anugerah-anugerah yang dipertandingkan iaitu Johan, Naib Johan, Tempat Ke-3, Anugerah Kreativiti Terbaik, Anugerah Teknikal Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Kumpulan Tarian Terbaik, Anugerah Muzik Terbaik, Anugerah Publisiti Terbaik dan Anugerah Keceriaan Terbaik.
MARGENRA, KTDI merupakan nama kumpulan ringkasan kepada Martabat Generasi Juara (MARGENRA) dan juga merupakan hasil ciptaan idea yang datangnya daripada perbincangan para pelajar Sekretariat Kebudayaan, Kesenian dan Perpaduan, KTDI sesi 2022/2023.
Sedikit perkongsian ringkas tentang sinopsis drama tari pada tahun ini adalah berkisahkan tentang perjalanan pulang oleh sekumpulan lepasan graduan ke kampung halaman mereka lalu, terjadinya musibah banjir dan mereka diselamatkan oleh sukarelawan negara dari pelbagai kaum yang sedia berkorban demi menyelamatkan rakyat Malaysia daripada tragedi tersebut.
Program Malam Tunas Budaya 2022 kali ini telah membuktikan bahawa para pelajar mampu menghasilkan sebuah pementasan drama tari yang kreatif dan program ini wajar mendapat sokongan positif daripada semua warga UPM.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi buat Kolej Tun Dr Ismail kerana berjaya menempah nama serta tempat, walaupun beroleh tempat ketiga, MARGENRA tetap juara di hati para penonton.
Tarikh Input: 03/02/2023 | Kemaskini: 03/02/2023 | farizaidi
Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 7371