REUNION ON THE GREENS 2024 (ROG2024)
OLEH: NUR SHAFIQAH MARJAN BINTI MOHD NOR
Serdang, 31 Oktober 2024 - Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan program Reunion On The Greens 2024 (ROG2024) dengan jayanya pada 26 Oktober 2024 bertempat di UniPutra Golf Club, Universiti Putra Malaysia. Program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran peserta dan taklimat di UniPutra Golf Club.
Objektif kejohanan golf ini diadakan adalah untuk mewujudkan ukhuwah dan memperkukuhkan ikatan silaturahim antara alumni, pihak pengurusan dan pelajar KTDI. Selain itu, pelajar juga dapat menimba ilmu dan pengalaman baru dalam mengendalikan program/aktiviti bersama pihak luar. Para alumni juga dapat berkongsi pengalaman dan idea dengan pihak pengurusan dan barisan MPK KTDI bagi meningkatkan kecemerlangan kolej sama ada dalam aspek akademik mahupun sahsiah pelajar.
Reunion On The Greens 2024 (ROG2024) telah disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, Pengetua Kolej Tun Dr Ismail, Encik Mohd Safiee Sulong, Felo Penasihat Reunion On The Greens 2024. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran alumni yang turut serta mengikuti kejohanan golf yang diadakan. Kerjasama semua jawatankuasa pelaksana dalam melaksanakan program ROG2024 ini telah memberikan kesan positif yang besar kepada semua tetamu yang hadir pada program tersebut.

YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia menyampaikan ucapan.
YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat terutamanya pihak penganjur, Sekretariat Jaringan Alumni dan Kerjaya, Majlis
Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail, Universiti Putra Malaysia serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana telah berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya serta sekalung tahniah kepada para pemenang dalam kejohanan golf ini. Beliau memetik satu kata-kata dari pakar motivasi di mana dalam setiap kekalahan, pasti terdapat sebuah pelajaran yang menunjukkan cara untuk mencapai kemenangan di waktu yang lain.

Saudara Muhammad Firdaus Mohd Zafri memberikan ucapan penghargaan
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’, Tuan- Tuan, dan sidang hadirin yang sudi meluangkan masa bagi menjayakan program ini, baik sebagai peserta mahupun penyokong majlis kejohanan ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa serta pihak luar yang terlibat yang telah banyak memberi kerjasama dalam menjayakan program ini. Sesungguhnya tanpa kehadiran anda semua, maka sukarlah untuk program ini dilaksanakan.” ujar Saudara Muhammad Firdaus Mohd Zafri, Presiden Kolej Tun Dr Ismail mewakili pengarah program iaitu Saudari Norsyafinaz Jamalias dalam ucapannya pada hari itu.
Sesi penyampaian hadiah bagi setiap pemenang dalam beberapa kategori turut diumumkan. Sesi cabutan bertuah turut disertakan dan semua peserta memperolehi hadiah. Rata-rata peserta menyatakan perasaan berpuas hati dengan majlis kejohanan golf yang diadakan pada kali ini. Diharapkan dengan berlangsungnya Majlis Kejohanan Golf Reunion On The Greens 2024 (ROG2024), ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim alumni UPM dengan barisan pengurusan dan pelajar-pelajar KTDI. Justeru itu, program Reunion On The Greens 2024 (ROG2024) wajar terus dilaksanakan pada masa yang akan datang.
Tarikh Input: 13/12/2024 | Kemaskini: 08/01/2025 | farizaidi

Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 1397