Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) merupakan antara kolej yang terawal dibina di kampus UPM Serdang. KTDI yang dahulunya terkenal dengan jolokan "Third" yang bermaksud 'ketiga' merupakan kolej ketiga dibangunkan selepas Kolej Pertama dan Kedua.
Proses pembinaannya bermula daripada Februari 1973 dan siap sepenuhnya pada Julai 1975. Sebagai salah satu projek di bawah Rancanga Malaysia Kedua, pihak kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2.3 juta untuk pembinaan kolej ini.
Nama baru kolej ini diambil sempena nama tokoh terhormat Negara iaitu Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, sebagai penghormatan terhadap jasa dan ketokohannya sebagai salah seorang pemimpin Negara yang berwibawa. Nama Kolej Tun Dr. Ismail telah digunakan secara rasminya pada 1 Januari 1995.
Pada tahun 2019, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewujudkan satu pelan penggabungan yang melibatkan kolej-kolej kediaman iaitu Pelan Transformasi Governan. Tujuan pelan ini dirangka adalah untuk memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dalam meningkatkan kadar kecekapan penyampaian perkhidmatan. Justeru itu, bagi menyahut seruan UPM dalam pelan ini, Kolej Tun Dr. Ismail telah digabungkan dengan Kolej Kelima bermula pada 15 Jun 2019 dan penstrukturan semula pengetua dan pentadbiran kolej telah dibuat.
Rentetan itu, nama Kolej Tun Dr. Ismail telah dikekalkan dan digunakan sebagai nama kolej sehingga hari ini termasuk penggunaan logo dan motto.
Kemaskini:: 27/07/2023
Kolej Tun Dr. Ismail. Universiti Putra Malaysia 43400 UPM, Serdang Selangor Darul Ehsan
Tel: 03 9769 7371