AYUH, NUSANTARA! | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » AYUH, NUSANTARA!

AYUH, NUSANTARA!

AYUH, NUSANTARA!

OLEH : FATIN ZULAIKHA

 

Indonesia, Ogos 2023 - Sekretariat Kesukarelawanan dan Perhubungan Luar (Keshlu), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Tun Dr Ismail Universiti Putra Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia, Pusat Antarabangsa (I-Putra), dan Universitas Padjadjaran Jatinangor Indonesia (UNPAD) telah menganjurkan program mobiliti di Indonesia iaitu Ayuh, Nusantara!

 

Program mobiliti ini telah berjaya dilaksanakan secara atas talian bermula 13 Ogos sehingga 17 Ogos 2023 dan secara fizikal bermula 18 Ogos sehingga 26 Ogos 2023.

 

Intipati program ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara Universiti Putra Malaysia dan Universitas Padjadjaran, Kampus Jatinangor Indonesia secara outbond serta memperkenalkan Universiti Putra Malaysia sebagai salah sebuah universiti yang bertaraf dunia sekaligus meneroka, menghayati dan merasai keindahan kehidupan dan budaya tradisional Indonesia.

 

Program ini telah membukai tirai agungnya semasa dirasmikan oleh Pengetua KTDI, Prof Dr Aminuddin Hassan iaitu pada majlis pembukaan yang diadakan melalui Google Meet. 

 

Pada 18 Ogos 2023 iaitu sekitar jam 12.30 tengahari, seramai 24 orang pelajar daripada Universiti Putra Malaysia telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Soekarno - Hatta sebelum meneruskan perjalanan selama hampir empat jam dari Jakarta ke Universitas Padjadjaran yang terletak di Bandung.

 

Pada hari kedua di bumi Nusantara, semua peserta telah berkumpul di Bangunan Rektorat UNPAD dimana Dr Savitri Aditiany, Direktorat Internasional Office (IO), telah mengalu - alukan kedatangan pelajar UPM dan berharap objektif dapat dicapai seperti yang dirancang.

 

“Saya berharap program seperti ini dapat lebih kerap diadakan antara Universiti Putra Malaysia dan Universitas Padjadjaran sebagai negara jiran di Asia Tenggara supaya dapat lebih meningkatkan visibiliti dan pengalaman para pelajar dalam program antarabangsa” Kata Dr Savitri.

 

Kemeriahan dan keutuhan hubungan yang baik antara peserta dari KTDI,  UPM dan UNPAD dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan bersama iaitu bermain permainan tradisional Indonesia seperti bekel dan bakiak, UNPAD Campus Tour dan lawatan ke Ecoparian Park.

 

Dalam masa semua peserta menikmati perjalanan program mobiliti ini, para peserta juga turut mengambil kesempatan untuk melawat anak-anak yatim di Lembaga Kesejahteraan Sosial Anak (LKSA) Fajar Harapan serta menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada pihak LKSA supaya dapat meringankan beban mereka. 

 

Sepanjang berada di Indonesia, para peserta semestinya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat-tempat yang menarik seperti Kawah Putih, Tasek Patenggang, Jambatan Gantung Tamparuli, Masjid Raya, Rumah Mode, Rumah Kain Sulam, Pasar Besar, Muzium Nasional, Monumen Nasional Indonesia, Istana Presiden, dan Muzium Bersejarah Jakarta. 


Dalam pada itu, para peserta tetap menunjukkan semangat patriotisme yang sangat tinggi sesuai dengan pepatah Melayu “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri” kerana mereka telah melakukan satu aktiviti yang sangat berimpak tinggi untuk menyambut hari kemerdekaan negara iaitu aktivti ‘Social Experiment’ dimana aktiviti ini telah membuka mata rakyat Indonesia tentang keunikan dan keistimewaan Malaysia apabila para peserta menemu ramah beberapa rakyat tempatan untuk menguji pengetahuan rakyat Indonesia tentang negara Malaysia sekaligus memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

Date of Input: 08/11/2023 | Updated: 08/11/2023 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEbUAo~