MALAYSIA-THAILAND MOBILITY PROGRAMME : PERSAHABATAN TANPA SEMPADAN | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » MALAYSIA-THAILAND MOBILITY PROGRAMME : PERSAHABATAN TANPA SEMPADAN

MALAYSIA-THAILAND MOBILITY PROGRAMME : PERSAHABATAN TANPA SEMPADAN

OLEH : NUR ARISYA SYAZA ABL AZIZ

 

Thailand, Oktober 2024 - Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Tun Dr Ismail, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia, Pusat Antarabangsa (i-PUTRA) Universiti Putra Malaysia dan Kasetsart University telah menganjurkan program mobiliti di Thailand iaitu Malaysia-Thailand Mobility Programme dengan singkatannya MaThai. MaThai telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya secara atas talian bermula 20 September sehingga 25 September dan secara fizikal bermula 26 September sehingga 3 Oktober 2024. Salah satu inisiatif mobiliti ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan pelajar dari Malaysia dan komuniti di Thailand, memberikan pengalaman pendidikan dan kesukarelawanan serta mempromosikan pertukaran budaya antara dua negara jiran.

 

MaThai membuka tirai dengan Majlis Perasmian Pembukaan Malaysia-Thailand Mobility Programme yang dirasmikan oleh Dr Mohd Hafiz Mohd Zaid, Pengetua KTDI melalui platform atas talian, Google Meet dan turut disertai oleh wakil delegasi daripada Kasetsart University. Dalam ucapannya, Dr Mohd Hafiz Mohd Zaid menekankan kepentingan pertukaran budaya dalam memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand. Beliau menyatakan, “ Program ini bukan sahaja membuka ruang pelajar menimba ilmu, tetapi untuk menyelami kepelbagaian budaya yang ada di negara jiran kita. Dengan saling memahami, jalinan persahabatan yang erat dapat dibina.”

 

Pada 26 September 2024 sekitar jam 1.45 petang, seramai 26 orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai dan meneruskan perjalanan selama 2 jam ke hotel bagi membuat persiapan program. Hari kedua di Hat Yai, Thailand dimulakan dengan lawatan ke Bumrungsuksa Islamic Boarding School (BIS). Di sana, kami berpeluang untuk menyantuni seramai 140 orang pelajar di sana. Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana seperti fun game dan sesi pertukaran bahasa antara Bahasa Melayu dan Bahasa Thailand. Lawatan ini juga memberj peluang kepada pelajar mobiliti untuk mengenali tradisi dan nilai masyarakat tempatan apabila berinteraksi dengan pelajar BIS.

                          

Gambar 1:Lawatan ke BIS
Gambar 2: Sesi pertukaran bahasa antara pelajar

 

Seterusnya, kami berangkat ke Bangkok, Thailand menaiki sleeping train. Di sini, pelajar mampu merasai pengalaman menaiki keretapi selama 14 jam sambil meneroka kehijauan bumi Thailand.

 

Sesudah tiba di Bangkok, Thailand, pelajar meneruskan MaThai dengan lawatan ke Fakulti Sains, Kasetsart University dimana Prof. Madya Wanchai Pluempanupat, Timbalan Dekan Fakulti Sains telah menyambut baik kunjungan pelajar UPM dan berharap objektif yabg dirancang dapat dicapai dengan baik. Pelajar diperkenalkan dengan bidang penyelidikan di. awah 15 jabatan di fakulti ini serta berpeluang melihat fasiliti di makmal penyelidikan dan pengajaran yang menempatkan instrumen sains yang canggih.

 

Gambar 3 dan 4: Sesi lawatan dan aktiviti di Kasetsart University

 

Sepanjang lawatan ke Kasetsart University, pelajar berjaya menyertai sesi pembelajaran bersama pelajar tahun pertama Bacelor Sains Bioteknologi melalui aktiviti Bridge Challenge di mana pelajar Malaysia dan Thailand perlu bekerjasama dalam kumpulan untuk membina jambatan paling kukuh menggunakan spaghetti dan getah. Sesi ini bukan sahaja memberi peluang pelajar untuk berinteraksi malahan membantu pelajar mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta melontarkan idea dalam penyelesaian masalah. Sesi terakhir ialah Campus Tour dimana pelajar dibawa melihat kemudahan yang ditawarkan di Kasetsart University Library and Learning Center (KULC). Sesi ini memberi banyak input tentang pelaksanaan inisiatif KU dalam penjagaan alam sekitar dan kebajikan pelajar secara harmoni.

 

Sepanjang berada di Thailand, pelajar semestinya tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat menarik seperti Chang Puak Camp, Hat Yai Municipal Park, Samila Beach, The Grand Palace, Wat Arun Ratchawararam dan Big bee farm.

 

Sepanjang MaThai berlangsung, pelbagai ilmu baharu yang dipelajari oleh pelajar UPM malahan program mobiliti ini membuka ruang untuk pelajar Malaysia mengembangkan perspektif mereka tentang pendidikan dan budaya antarabangsa. Diharapkan inisiatif ini akan diteruskan agar mampu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk membina hubungan dan memperluas pengetahuan mereka di peringkat global.

Date of Input: 29/10/2025 | Updated: 29/10/2025 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
F, (04:06:48pm-04:11:48pm, 05 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]