D’PRESTIGE 24: KISAH PENGALAMAN, BEROLEK KENANGAN | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » D’PRESTIGE 24: KISAH PENGALAMAN, BEROLEK KENANGAN

D’PRESTIGE 24: KISAH PENGALAMAN, BEROLEK KENANGAN

D’PRESTIGE 24: KISAH PENGALAMAN, BEROLEK KENANGAN

 

OLEH: AIN FARHANA BINTI RAZALY

 

BANGI, 06 Januari 2024 - Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) Sesi 2023/2024, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama pihak pengurusan KTDI telah menganjurkan Malam Prestij Kemilau Juara 2024 (D’Prestige 24) dengan jayanya dan penuh gilang-gemilang bertempat di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. Program bermula seawal 8.00 malam dengan kehadiran tetamu kehormat, barisan jawatankuasa pelaksana serta pelajar yang diraikan iaitu pelajar tahun akhir KTDI.

 

Objektif Malam Prestij Kemilau Juara 2024 merupakan satu majlis makan malam perdana KTDI yang dilangsungkan untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang telah mengharumkan serta menyumbang bakti kepada kolej. Pada sesi ini, D’Prestige 24 telah membawa tema Klasik P.Ramlee yang menggambarkan keindahan kekeluargaan yang mempersatukan pelbagai budaya dan latar belakang serta mangkuk tingkat merupakan simbolik majlis makan malam tersebut.

 

Malam Prestij Kemilau Juara 2024 telah disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Dato Abdul Kadir Abu Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Malaysia, merangkap alumni dan mantan presiden KTDI Sesi 1990/1991 dan turut dihadiri YBhg. Tuan Haji Shamsul Azhar Ismail, Pengarah Urusan Eco Synergy Solution Sdn. Bhd., Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej UPM dan Prof. Dr. Aminuddin Hassan, Pengetua KTDI, UPM. Majlis makan malam tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan felo dan staf KTDI, alumni KTDI, pengetua-pengetua kolej kediaman, barisan pegawai tadbir, presiden-presiden kolej kediaman serta penaja-penaja majlis. Hasil kerjasama semua ahli jawatankuasa yang telah merealisasikan Malam Prestij Kemilau Juara 2024 telah memberikan impak yang positif kepada semua jemputan dan pelajar tahun akhir.

 YBhg. Dato Abdul Kadir Abu Hashim memberikan ucapan sewaktu sesi ucaptama.

Pelajar tahun akhir, barisan felo dan barisan tetamu jemputan.

Saudari Nur Raziyana Zahira Mohd Rizuwan memberikan ucapan penghargaan beliau.

 

Pengarah D’Prestige 24 : Saudari Nur Raziyana Zahira Mohd Rizuwan telah menyatakan bahawa untuk merealisasikan majlis tersebut merupakan satu cabaran bagi beliau tetapi dengan adanya komitmen daripada semua pihak yang terlibat, majlis ini telah dijayakan dengan gahnya.

 

Saudara Muhammad Syafi Haziq Bin Mohd Fauzi

 

“Kami ingin berterima kasih kepada Kolej Tun Dr. Ismail yang telah membentuk kami tidak hanya sebagai pelajar, tetapi sebagai individu yang lebih matang dan bijak. Kami juga berharap agar nilai-nilai yang telah diajar di kolej ini akan terus menjadi panduan kami dalam melangkah ke alam baharu.” ucap saudara Muhammad Syafi Haziq Bin Mohd Fauzi yang merupakan penerima Anugerah Bintang Setia juga selaku wakil pelajar tahun akhir untuk memberikan ucapan pada malam itu.

 

 

 

 

Pelbagai bentuk persembahan telah disajikan kepada jemputan sekaligus mempamerkan bakat-bakat pelajar KTDI. Seterusnya, terdapat 10 anugerah yang telah disampaikan pada malam itu kepada para pelajar tahun akhir bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian mereka sepanjang berada di Kolej Tun Dr. Ismail. Anugerah-anugerah tersebut adalah Anugerah Bintang Setia, Anugerah Bintang Karisma, Anugerah Bintang Olahragawati, Anugerah Bintang Olahragawan, Anugerah Bintang Seniwati, Anugerah Bintang Seniman, Anugerah Bintang Akademia Perdana, Anugerah Bintang Khas Perdana, Anugerah Bintang Kepimpinan Perdana, dan Anugerah Bintang Emas.

 

 

 

 

 

 

 

Dengan adanya Malam Prestij Kemilau Juara 2024, semoga semua pelajar tahun akhir akan terus maju jaya dan dapat dijadikan inspirasi kepada seluruh pelajar KTDI yang lain. Diucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan seluruh Ahli Jawatankuasa DP’24 yang telah berusaha menjayakan program ini. Program yang berakhir sekitar pukul 11.00 malam itu diakhiri dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan pemenang pakaian mengikut tema. Kejayaan penganjuran program ini menampakkan kemampuan pelajar menguruskan program dan pastinya telah memberi peluang dan ruang pengalaman yang banyak kepada semua yang terlibat. Justeru, Malam Prestij Kemilau Juara wajar diteruskan dan dilaksanakan pada masa akan datang dengan penambahbaikan yang berterusan.

Date of Input: 06/02/2024 | Updated: 07/02/2024 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEbPAK~