MTB22: MARGENRA TETAP JUARA | KOLEJ TUN DR. ISMAIL
» NEWS » MTB22: MARGENRA TETAP JUARA

MTB22: MARGENRA TETAP JUARA

OLEH: HUDA BINTI MOHAMAD NASHIR

 

SERDANG, 22 Oktober – Setelah lebih dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19, Pertandingan Malam Tunas Budaya 2022 sempena Minggu Perkasa Putra Kemasukan Pelajar Baharu bagi sesi 2022/2023 anjuran Seksyen Pengurusan Aktiviti Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung di Dewan Besar, PKKSSAAS UPM bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama Berpaksikan Rukun Negara” mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar UPM.

Malam Tunas Budaya merupakan sebuah pertandingan yang wajib disertai oleh para pelajar tahun satu sahaja bagi membina keberanian, mengasah kebolehan diri dan menonjolkan bakat terpendam yang dimiliki oleh para peserta dan Kolej Tun Dr Ismail berjaya merangkul tempat ketiga dan sekali gus membawa pulang Anugerah Teknikal Terbaik. 

 

Hadiah wang tunai beserta hamper dan trofi yang dibawa pulang oleh para peserta Malam Tunas Budaya 2022.

 

Kolej Tun Dr Ismail berjaya menghasilkan satu persembahan drama tari yang menggabungkan konsep moden dan tradisional yang dipersembahkan oleh MARGENRA, KTDI yang telah menghangatkan suasana pada malam itu dengan permainan lampu dan penguasaan teknikal yang mantap dan memukau para penonton.

Malam Tunas Budaya (MTB) turut diwakili oleh  9 buah kolej yang telah menyajikan pelbagai persembahan menarik bagi  merebut kejuaraan dan anugerah-anugerah yang dipertandingkan   iaitu Johan, Naib Johan, Tempat Ke-3, Anugerah Kreativiti Terbaik, Anugerah Teknikal Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Kumpulan Tarian Terbaik, Anugerah Muzik Terbaik, Anugerah Publisiti Terbaik dan  Anugerah Keceriaan Terbaik.

 

Sesi fotografi bersama para peserta, felo-felo, alumni-alumni dan para penyokong kuat Kolej Tun Dr Ismail di pentas Dewan Besar, PKKSSAAS UPM.

 

MARGENRA, KTDI merupakan nama kumpulan ringkasan kepada Martabat Generasi Juara (MARGENRA) dan juga merupakan hasil ciptaan idea yang datangnya daripada perbincangan para pelajar Sekretariat Kebudayaan, Kesenian dan Perpaduan, KTDI sesi 2022/2023. 

Sedikit perkongsian ringkas tentang sinopsis drama tari pada tahun ini adalah berkisahkan tentang perjalanan pulang oleh sekumpulan lepasan graduan ke kampung halaman mereka lalu, terjadinya musibah banjir dan  mereka diselamatkan oleh sukarelawan negara dari pelbagai kaum yang sedia berkorban demi menyelamatkan rakyat Malaysia daripada tragedi tersebut. 

Program Malam Tunas Budaya 2022 kali ini telah membuktikan bahawa para pelajar mampu menghasilkan sebuah pementasan drama tari yang kreatif dan program ini wajar mendapat sokongan positif daripada semua warga UPM.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi buat Kolej Tun Dr Ismail kerana berjaya menempah nama serta tempat, walaupun beroleh tempat ketiga, MARGENRA tetap juara di hati para penonton.

Date of Input: 03/02/2023 | Updated: 03/02/2023 | farizaidi

MEDIA SHARING

KOLEJ TUN DR. ISMAIL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 7371
-
SXEbNAG~